SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menamatkan serta merta tugas mana-mana pegawainya, jika dikesan terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan tegas itu perlu bagi membendung masalah berkenaan daripada berterusan.
“Saya dah cakap terus terang kepada semua barisan pegawai tadi (ketika lawatan kerja) dan saya secara peribadi tidak akan berkompromi dalam isu itu.
“Kami juga mungkin akan mencadangkan beberapa prosedur pengambilan dan penamatan kerja yang lebih serius jika seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti-aktiviti penyeludupan,” katanya ketika melakukan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.
Ditanya berhubung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu sempadan negara diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah, Mohd. Suhaily berkata, AKPS akan memperkemas kerjasama dengan agensi penguatkuasaan utama di negara ini.
Katanya, ketika ini pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Mohd. Shuhaily berkata, beliau akan turun ke sempadan dan pintu masuk negara bagi meneliti permasalahan yang timbul di lapangan.-UTUSAN



