IPOH: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara tidak perlu kerana badan kehakiman negara masih berfungsi dan dapat menjalankan tugas dengan baik.
Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, isu pelantikan Ketua Hakim Negara ketika ini tidak sampai ke tahap seperti krisis Perlembagaan seperti berlaku pada tahun 1988, yang menyaksikan bekas Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas dipecat.
Menurutnya, sistem kehakiman negara masih bergerak dan tidak ada tanda-tanda sistem perundangan negara tidak bergerak hanya kerana tidak ada Ketua Hakim Negara.
“Melihat kepada fakta, badan kehakiman negara ketika ini masih dapat menjalankan tugasnya, rutin hariannya. Jadi saya rasa ia belum sampai ke peringkat krisis. Krisis bermaksud sistem itu menjadi jammed atau terhenti, gagal berfungsi atau sistem itu menghadapi keadaan tertekan atau mati arah dan sebagainya.
“Sekarang walaupun dibangkitkan isu ketiadaan Ketua Hakim Negara, ya, memang betul tetapi dalam sistem atau kerangka itu sudah ada peruntukan untuk memangku jawatan tersebut dan sebagainya.
“Setakat ini belum ada laporan mengatakan bahawa sistem kehakiman negara gagal menjalankan fungsinya. Kalau kita ingat krisis Perlembagaan pada tahun 1998, apa yang berlaku sekarang belum sampai ke tahap itu.
“Jadi untuk mengatakan sesuatu yang drastik seperti patut ditubuhkan RCI, mungkin agak keterlaluan,” katanya pada siaran langsung Program Wacana Perlembagaan dan Perundangan Negara di Facebook beliau semalam.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, RCI tidak perlu ditubuhkan kerana proses pelantikan hakim sudah dimuktamadkan dalam Perlembagaan dan jika melantik RCI seolah-olah mahu meletakkan Perdana Menteri di kandang orang salah.
“Proses pelantikan hakim agak rumit dan melibatkan banyak pihak. Dalam keadaan politik tidak stabil, Perdana Menteri tidak mempunyai freehand atau kebebasan untuk membuat apa sahaja,” katanya.
Abdul Aziz berkata, situasi atau senario yang berlaku sekarang sengaja dipanaskan kerana ada usaha atau gerakan untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.
Isu itu menjadi peluru untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ditonjolkan seolah-olah Perdana Menteri menjadi batu penghalang kepada pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Ini tidak adil sebab proses pelantikan Ketua Hakim, kalau kita baca Perlembagaan ia satu proses yang bukan hanya melibatkan Perdana Menteri tetapi juga Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja tetapi dibebankan di atas beliau (Perdana Menteri), jadi ini tidak adil.
“Satu lagi, isu ini tidak mempunyai fakta apa yang berlaku, kita seolah-olah bersilat dalam gelap. Kita mendesak, kita bercakap berdasarkan daripada spekulasi dan fakta yang belum tentu betul,” katanya.
Mengenai desakan agar Perdana Menteri tidak terlibat dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara, Abdul Aziz berkata, jika Perdana Menteri tidak diberikan peranan, ia sesuatu yang serius dan pelik.
Katanya, beliau belum melihat satu sistem di mana Perdana Menteri tidak campur tangan dalam pelantikan hakim.
“Malah di Amerika Syarikat (AS) pun, hakim dilantik oleh Presiden, cuma di sana ada satu amalan yang dilakukan secara konsisten iaitu calon-calon hakim akan menghadapi satu jawatankuasa di peringkat kongres untuk menjawab segala dakwaan dan soalan yang berhubung dengan dirinya.
“Jika ‘lepas’ baru disahkan sebagai hakim di mahkamah agung tapi kuasa itu masih kuasa presiden,” katanya. – UTUSAN






