KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menamatkan pertikaian di antara mereka demi rakyat dan bagi memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin-pemimpin negara.
Kata sepakat itu dicapai dalam kes saman fitnah berhubung isu ‘kutty’ di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Penyelesaian bersama itu juga membabitkan saman fitnah oleh Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir.
Mahkamah pada hari ini juga sepatutnya mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mengenakan tindakan komital terhadap bekas Presiden UMNO itu.
Ahmad Zahid memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir pada April 2022 berhubung dakwaan menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kesnya yang masih berjalan di mahkamah.
Dr. Mahathir pula menyaman Ahmad Zahid pada Julai 2022 atas dakwaan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu telah mengeluarkan kenyataan fitnah yang menyentuh mengenai asal keturunannya.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, Dr. Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Ahmad Zahid, 73, tanpa kebebasan memfailkan semula.
Sementara itu, Ahmad Zahid pula menarik balik saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah di mahkamah.
Ahmad Zahid juga bersetuju menarik balik permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Mahathir.
“Kedua-dua pihak mengakui bahawa terdapat kenyataan-kenyataan sebelum ini yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham berkaitan identiti dan integriti peribadi pihak-pihak. Namun, perkara-perkara ini telah diperjelaskan dengan sewajarnya oleh pihak-pihak.
“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mempertikaikan bahawa nama Tun Dr. Mahathir seperti yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah Mahathir bin Mohamad.
“Sebarang kenyataan sebelum ini yang menimbulkan tanggapan sebaliknya telah dibuat berdasarkan maklumat daripada Ketua Pengarah JPN yang mana Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiada sebab untuk meragui pada ketika itu.
“Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada kewujudan dokumen pengenalan dengan nama ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’,”ujar kenyataan itu.
Selain itu, Dr. Mahathir turut memberitahu, kenyataan yang dibuatnya pada 23 Februari 2022 berhubung dakwaan Ahmad Zahid memohon bekas Ahli Parlimen Langkawi itu campur tangan dalam siasatan dan prosiding jenayah terhadapnya dibuat berdasarkan maklumat daripada pihak ketiga yang mana beliau tiada sebab untuk meraguinya.
“Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada cubaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui apa-apa kenyataan atau pertemuan untuk menghentikan prosiding jenayah terhadapnya di luar lingkup proses kehakiman.
“Tambahan pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan tidak berada di dalam Kerajaan pada ketika kedua-dua situasi yang dirujuk dalam kenyataannya tersebut,” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir dan Ahmad Zahid percaya bahawa subjek utama yang wujud dalam pertikaian di antara mereka sudah dijelaskan dan tidak lagi menjadi isu.
“Penyelesaian ini bertujuan bukan sahaja untuk menamatkan prosiding sivil yang sedang berjalan tetapi juga untuk mengukuhkan semangat perpaduan, mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara serta menghormati prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan institusi kehakiman,” tambah kenyataan tersebut.
Pada prosiding hari ini, Dr. Mahathir diwakili peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi manakala Ahmad Zahid diwakili peguam, Shahrul Fazli. Bagaimanapun, Dr. Mahathir dan Ahmad Zahid tidak hadir di mahkamah hari ini. – UTUSAN






