PETALING JAYA: Bekalan telur ayam di pasaran adalah mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik berdasarkan data daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, ia susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Jelasnya, pihak industri dari semasa ke semasa akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan data pengeluaran semasa.
Proses pelarasan harga itu adalah sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka dan tidak menjejaskan jaminan bekalan telur untuk pengguna.
“Berdasarkan tinjauan KPKM, bekalan telur Gred A, B dan C masih stabil dan boleh dibeli di pasar raya.
“Bekalan telur Gred Khas dengan harga mampu milik turut tersedia dengan kuantiti yang munasabah.
“KPKM juga akan meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur termasuk meneruskan inisiatif Jualan Agro Madani bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan harga dan tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada, sekiranya berlaku sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi serta kenaikan harga yang tidak munasabah.
KPKM katanya, sentiasa komited untuk memastikan bekalan telur mencukupi dan terjamin bagi memenuhi permintaan pengguna. – UTUSAN






