KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan menyebarkan kandungan atau maklumat yang belum disahkan berkaitan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses siasatan kes tersebut dapat dijalankan tanpa gangguan.
“Saya mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh pihak AGC dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail. Kedua-dua pihak telah memberi peringatan berhubung penyebaran pelbagai maklumat yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
“Kita serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang telus. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga telah memberi jaminan bahawa jika terdapat mana-mana pihak yang terlibat, mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada sesiapa yang akan dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara Pentarama Homecoming Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Bangsar, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut menggesa masyarakat agar menaruh kepercayaan kepada pihak berkuasa, yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan adil, menyeluruh dan tanpa berat sebelah.
“Jabatan Peguam Negara juga telah memaklumkan terdapat beberapa perkara yang perlu disusuli oleh pihak PDRM sebelum kertas siasatan lengkap untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya ada pihak yang bertanggungjawab, kita yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya. Saya ingin mengingatkan semua agar tidak menyebarkan kandungan atau maklumat yang belum disahkan kesahihannya,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, PDRM turut mengeluarkan nasihat agar orang ramai menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih berkaitan kes kematian Zara Qairina termasuk pendedahan maklumat siasatan serta gambar yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Mohd. Khalid dilaporkan berkata, semua proses siasatan termasuk bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial. – UTUSAN






