PETALING JAYA: Platform aduan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) antara lima langkah segera yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi mengelak kes menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir berulang pada masa depan.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, platform tersebut membolehkan pelajar membuat laporan secara selamat melalui Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) atau aplikasi khusus dipantau guru kelas dan guru kaunseling.
“AI boleh memberi amaran awal mengenai kebarangkalian berlaku insiden buli dan cara mengelakkannya. Langkah lain adalah dengan memberikan latihan wajib untuk guru dan kakitangan sekolah berkenaan.
“Latihan itu membolehkan guru dan kakitangan sekolah mengenal pasti tanda awal buli, penderaan dan tekanan emosi. Konsep ‘jika nampak atau dengar buli, laporkan segera’ mesti menjadi budaya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zara Qairina, 13, sebelum ini dilaporkan ditemui cedera parah di bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Sabah kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia keesokan harinya ketika dalam rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Kematiannya menarik perhatian ramai terutama di media sosial kerana kejadian itu dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah terbabit.
Menurut Maszlee lagi, tambahan kaunselor di sekolah dan khidmat warden asrama secara sepenuh masa boleh dilaksanakan kerajaan.
“Penambahan bilangan kaunselor dan warden asrama sepenuh masa penting bagi memantau dan menerima aduan mengenai pelajar terbabit,” ujarnya.
Dalam pada itu Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) Sifar Buli di mana Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua institusi berasrama mesti jadikan penghapusan budaya buli sebagai penilaian prestasi tertinggi pentadbir.
Maszlee berkata, kejadian terbabit bukan sekadar berita, sebaliknya tamparan kepada masyarakat bahawa seorang pelajar boleh hilang nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuknya, iaitu sekolah.
“Sebagai bapa, pendidik dan bekas Menteri Pendidikan, saya tidak boleh diam. Kes Zara mesti menjadi titik perubahan. Kita tidak boleh biarkan nyawa anak-anak ini menjadi angka di dalam laporan polis atau statistik kementerian.
“Ini bukan soal politik. Ini soal nyawa anak-anak kita. Saya menyeru Kementerian Pendidikan, golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan seluruh masyarakat untuk bersatu memastikan tragedi ini tidak berulang.
“Kita sudah terlalu lama menormalisasikan penderitaan murid di asrama. Budaya ‘diam demi nama baik sekolah’ mesti dihentikan sekarang. Zara tidak akan kembali, tetapi kita boleh pastikan tiada anak lain yang menjadi Zara berikutnya,” katanya. – UTUSAN





