KUALA LUMPUR: Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberikan keterangan berhubung ucapannya pada Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan, 29 Julai lalu.
Muhammad Hilman berkata, beliau hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dipercayai berkaitan himpunan berkenaan.
Katanya, beliau akan memastikan segala keterangan yang diperlukan pihak berkuasa diberikan bagi melengkapkan siasatan.
Muhammad Hilman yang diiringi peguamnya, Mahajoth Singh, tiba di lokasi pada pukul 10.30 pagi.
“Saya telah menyatakan kepada pihak polis bahawa saya akan memberi kerjasama sebaik mungkin kerana bagi kami, tidak ada apa-apa kesalahan dilakukan oleh mana-mana pimpinan ketika himpunan tersebut,” katanya pada sidang akhbar berhadapan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu mendedahkan, beliau telah menerima notis daripada polis untuk hadir ke Bukit Aman pukul 11 pagi ini, bagi membantu siasatan berhubung ucapannya pada acara `Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan’ 29 Julai lalu.
Muhammad Hilman dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang pegawai Pasukan Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan bahawa polis telah membuka siasatan terhadap ucapan tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa siasatan itu berkait dengan Akta Hasutan, sebaliknya menegaskan ia hanya tertumpu kepada dua peruntukan undang-undang yang dimaklumkan pihak polis.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan moral kepadanya pada hari ini.
“Saya berdoa kepada Tuhan agar segala urusan berjalan lancar dan saya yakin, dalam apa jua keadaan, seluruh kepimpinan Armada bersedia meneruskan perjuangan untuk menumbangkan kerajaan pada masa ini,” katanya.
Muhammad Hilman juga menyatakan keyakinan bahawa solidariti rakyat terhadap isu kebebasan bersuara akan terus dipertahankan.
Himpunan solidariti tersebut disertai kira-kira 50 orang yang berhimpun di luar Bukit Aman sejak pukul 10 pagi.- UTUSAN





