KUALA LUMPUR: Seramai 3,021 jururawat daripada pelbagai sektor kesihatan dalam negara berhijrah ke luar negara sepanjang tahun 2024, berdasarkan rekod Lembaga Jururawat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 2,554 orang atau 84.5 peratus merupakan jururawat daripada fasiliti kesihatan swasta, manakala 353 orang (11.7 peratus) dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan 114 orang (3.8 peratus) dari fasiliti kesihatan awam lain.
Kata beliau, kadar penghijrahan jururawat dari KKM ke luar negara hanya 0.5 peratus berbanding 70,234 jururawat yang berkhidmat di kementerian itu pada 2024.
“Dalam ekosistem demokratik, KKM tidak mempunyai kuasa untuk menyekat jururawat mencari pekerjaan di sektor swasta mahupun di luar negara termasuk menghalang usaha pengambilan oleh sektor swasta atau agensi pencarian bakat asing berdaftar,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai langkah menangani penghijrahan jururawat ke luar negara akibat tawaran gaji dan faedah lebih menarik serta usaha memastikan sistem kesihatan domestik tidak kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Dzulkefly berkata, fenomena penghijrahan tenaga kerja kesihatan termasuk jururawat ke luar negara bukanlah isu baharu dan turut berlaku di kebanyakan negara membangun lain.
“Faktor utama penghijrahan jururawat adalah tawaran gaji yang lebih kompetitif dipengaruhi kadar tukaran mata wang asing terhadap ringgit, yang lebih tinggi khususnya di negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN






