KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menyemak semula Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) agar pindaan mana-mana peruntukan dalam akta tersebut kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semakan semula itu turut mengambil kira perubahan besar dalam sistem perundangan negara termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat yang telah dilaksanakan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
“Kerajaan pada masa ini sedang dalam proses menyemak semula Akta Kanak-Kanak 2001 bagi meneliti keperluan pindaan terhadap mana-mana peruntukan supaya ia lebih selaras dengan situasi dan perkembangan semasa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) yang meminta penjelasan berhubung usaha kerajaan untuk meminda Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 agar selaras dengan pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia pada 2023. – UTUSAN




