KUALA LUMPUR: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang berkuat kuasa sejak 1 November 2024 masih lagi berkuat kuasa pada ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sepanjang tempoh penggantungan itu, NAFAS ditadbir oleh mereka yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dengan segala urusan tertakluk kepada arahan pihak pendaftar.
“Pendaftar telah melantik Majlis Peneraju Nafas yang dianggotai lima ahli profesional berpengalaman dalam tadbir urus dan pengurusan kerajaan diterajui bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman.
“Majlis ini berperanan menilai semula setiap aspek pengurusan dan operasi NAFAS termasuk anak syarikat dengan matlamat memastikan pemulihan institusi berlaku secara menyeluruh, berstruktur dan berintegriti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading- PH) mengenai status terkini penggantungan NAFAS sejak 1 November 2024.
Mohamad berkata, strategi pembaharuan akan dimuktamadkan melalui dokumen blueprint penambahbaikan tadbir urus dan keberdayasaingan.
“Kerajaan telah menempatkan tokoh-tokoh profesional yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam untuk menerajui NAFAS.
“Mereka ini bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing malah telah memberi khidmat cemerlang kepada negara sebelum ini. Kerajaan yakin pasukan ini mampu mencorak semula masa depan Nafas yang lebih berdaya saing dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN






