KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan mendesak untuk menilai semula keseimbangan antara pembangunan fizikal dan daya tampung bandar, khususnya dari segi kapasiti infrastruktur, penyediaan perumahan mampu milik, kelestarian alam sekitar serta kualiti hidup penduduk di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, menjelang 2031, Kuala Lumpur dijangka mencapai tahap kemuncak jumlah penduduk dan menjadi antara kawasan paling awal memasuki fasa masyarakat menua.
“Situasi ini menuntut perancangan bandar yang lebih bersasar dan seimbang. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada angka pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kapasiti infrastruktur, ketersediaan rumah mampu milik dan kemampanan persekitaran diutamakan.
“Cadangan melaksanakan moratorium ke atas projek kediaman mungkin kelihatan wajar, tetapi ia membawa implikasi negatif terhadap pertumbuhan ekonomi, kutipan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta harga rumah dan kadar sewa di bandar raya,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai cadangan meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di Kuala Lumpur memandangkan bandaraya ini akan mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031 iaitu, iaitu 28 tahun lebih awal daripada unjuran nasional.
Dr Zaliha berkata, laporan rasmi menunjukkan kedudukan unit kediaman tidak terjual di Kuala Lumpur sebenarnya menurun sebanyak 10.3 peratus pada akhir 2024 sekali gus menyangkal tanggapan berlakunya lambakan rumah di ibu kota.
Katanya, keperluan rumah di Kuala Lumpur masih tinggi dengan unjuran penduduk mencecah 2.35 juta orang menjelang 2040 melibatkan permintaan sekitar 783,000 unit baharu, termasuk 40 peratus daripadanya mestilah rumah mampu milik dan inklusif bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), belia serta skim sewa bersubsidi untuk golongan B40.
“DBKL menekankan perancangan berpandukan data dan daya tampung kawasan selain melaksanakan pembangunan semula berorientasikan transit (TOD) bagi mengawal peluasan bandar secara mendatar serta menilai kapasiti infrastruktur awam secara berterusan.
“Konsep Madani turut diterapkan dengan memastikan projek perumahan baharu seiring dengan penyediaan jalan raya, pengangkutan awam, sekolah dan pusat kesihatan agar tidak menjejaskan keselesaan serta kualiti hidup warga kota,” katanya.
Beliau berkata, visi CHASE yang menjadi panduan Jabatan Wilayah Persekutuan juga mengutamakan keseimbangan dalam perancangan bandar melalui integrasi infrastruktur, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Melalui pendekatan ini, pembangunan Kuala Lumpur dapat diselaraskan dengan lebih teratur, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar raya,” katanya.-UTUSAN





