KUALA LUMPUR: Vaksin Covid-19 sedia ada masih berkesan memberi perlindungan terhadap perubahan subvarian yang dikesan ketika ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ancaman varian Covid-19 terkini terhadap golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak juga kekal rendah serta terkawal.
“Malaysia kini berada dalam fasa hidup bersama Covid-19 di mana jangkitan ini diuruskan seperti penyakit saluran pernafasan lain termasuk influenza dan jangkitan virus yang lazim.
“Walaupun turun naik jumlah kes merupakan perkara biasa, komplikasi tetap boleh berlaku khususnya kepada warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai tahap ancaman varian Covid-19 terbaharu kepada golongan berisiko tinggi.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau perkembangan Covid-19 di dalam dan luar negara termasuk menerusi penjujukan genom bagi mengesan kemunculan varian atau subvarian baharu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Katanya, pemberian vaksin Covid-19 secara sukarela dan percuma masih diteruskan di fasiliti kesihatan terpilih, selain KKM juga terus mengeluarkan syor berdasarkan penilaian risiko semasa.
“Antara langkah pencegahan yang perlu diamalkan masyarakat termasuk pengambilan vaksin khususnya bagi golongan berisiko, menjaga kebersihan diri, mengamalkan etika batuk dan bersin serta memakai pelitup muka apabila bergejala atau berada di kawasan sesak,” katanya. – UTUSAN






