PETALING JAYA: Malaysia mampu berdiri teguh hingga ke hari ini kerana semangat perpaduan yang terbina hasil pengorbanan semua kaum sejak sebelum merdeka.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga menuntut tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keharmonian, membina pembangunan serta mempertahankan kedaulatan negara.
“Malaysia teguh hari ini kerana pengorbanan generasi terdahulu iaitu petani, pekerja ladang, buruh lombong, penjawat awam, ahli perniagaan serta para pejuang tanah air yang berganding bahu membina asas negara.
“Semangat kebersamaan tanpa mengira kaum dan agama itulah yang menjadikan kita kuat selama lebih enam dekad,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, perpaduan adalah benteng utama negara dalam mendepani cabaran global yang semakin mencabar.
“Jika kita terus bersatu hati, tiada cabaran yang tidak mampu dihadapi. Merdeka bukan sekadar mengenang sejarah 31 Ogos 1957, tetapi usaha memastikan masa depan Malaysia lebih makmur dan gemilang,” katanya.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR turut mengajak rakyat memperkukuh semangat patriotisme dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial agar Malaysia kekal dihormati di persada dunia.
Katanya, pengorbanan masyarakat India dalam pembangunan negara sebelum dan selepas merdeka juga tidak pernah dinafikan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia Madani, sebuah negara berbilang bangsa yang hidup rukun, berjiwa merdeka dan terus teguh melangkah ke hadapan.
“Kita bergerak sebagai satu pasukan di bawah payung Malaysia bersama kaum-kaum lain membina negara. Perjalanan 68 tahun ini cukup unik dan wajar kita rayakan dengan semangat jiwa merdeka,” katanya. – UTUSAN






