MELAKA: Polis menerima laporan berhubung kejadian seekor anjing dipercayai didera secara kejam apabila kulit badannya didakwa disiat hidup-hidup di tepi jalan Kawasan Perindustrian Krubong, di sini kelmarin.
Rakaman berdurasi 20 saat memaparkan keadaan menyayat hati itu dimuat naik Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di Facebook pada 17 Ogos lalu sebelum mencetuskan kemarahan netizen yang mengutuk perbuatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 2.43 petang semalam selepas pengadu bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan NGO haiwan menemui anjing berkenaan dua hari sebelumnya.
“Pemeriksaan mendapati haiwan itu mengalami luka parah di badan dan leher dipercayai akibat didera.
“Seorang saksi awam yang biasa memberi makan anjing jalanan di kawasan tersebut bertindak menghantar haiwan itu ke klinik veterinar untuk rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Christopher menjelaskan hasil pemeriksaan doktor veterinar mendapati kecederaan dialami haiwan tersebut amat serius selain berlaku jangkitan kuman, menyebabkan ia terpaksa ditidurkan bagi mengelak penderitaan berpanjangan.
“Kejadian ini amat menyedihkan dan polis memandang serius kes penderaan haiwan. Kes disiasat mengikut Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
“Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM150,000 serta penjara maksimum lima tahun,” jelasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Risal Kiraman di talian 013-7702523. – UTUSAN






