PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen seperti biasa dan tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun ada yang menasihati supaya beliau berehat seketika, tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat perlu diteruskan.
“Matlamat ugutan terhadap keluarga saya adalah supaya saya putus asa dan duduk diam.
“Kalau saya berhenti menjalankan tugas, maka tercapailah matlamat mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rabu lalu, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang.
Kelmarin Rafizi tidak menolak kemungkinan serangan disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkait sebuah skandal, pada Rabu minggu lalu.
Katanya, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan.
Di KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, menegaskan meskipun ada pihak tidak berpuas hati dengan Rafizi, tindakan sedemikian adalah kejam dan zalim.
Beliau berharap insiden yang menimpa anak Rafizi menjadi yang pertama dan terakhir.
“Kita sedih melihat kejadian seperti itu berlaku di negara ini. Apapun perbezaan politik, janganlah ambil tindakan keras seperti ini. Serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Hashim menegaskan, ahli keluarga tidak seharusnya dijadikan sasaran dalam perbezaan pandangan atau perbalahan politik.
“Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN






