PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) di Moscow, hari ini, sebagai sebahagian daripada lawatan negara Seri Paduka ke Russia.
NAMI merupakan pusat saintifik dan kejuruteraan automotif terkemuka di negara itu, dengan pengalaman lebih 100 tahun dalam mereka bentuk, membina serta menguji pelbagai jenis kenderaan iaitu daripada kereta penumpang mewah sehinggalah jentera pertanian serta komponen automotif inovatif.
Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Ketua Pengarah NAMI, Fedor Nazarov.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Baginda turut berkenan menerima taklimat khas mengenai pencapaian terkini teknologi automotif yang dibangunkan oleh NAMI sebelum melawat ruang pameran yang memaparkan beberapa model Aurus yang merupakan simbol kejuruteraan automotif buatan Russia.
Sultan Ibrahim kemudiannya turut berkenan memandu uji model Aurus Senat dengan diiringi Nazarov.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Albert Anvarovich Karimov. – UTUSAN






