PETALING JAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor menggesa pucuk pimpinan DAP serta DAPSY Kebangsaan agar segera memutuskan segala bentuk kerjasama dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.
Menurut DAPSY Johor, tidak ada lagi keperluan untuk bekerjasama dengan Dr. Muhammad Akmal yang didakwa mengamalkan politik samseng, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Rakyat Malaysia menolak politik samseng. DAP dan DAPSY tidak seharusnya terus bersekongkol dengan beliau yang hanya tahu mengapi-apikan sentimen perkauman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, DAPSY Melaka menolak politik kebencian yang didakwa dimainkan Dr. Muhammad Akmal selain menggesa DAP memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan berkata, isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan kerana ia hanya akan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat.
DAPSY Johor berkata, Dr. Akmal sering melaungkan slogan mempertahankan kedaulatan negara dan membela kepentingan kaum tertentu, namun pada masa sama mengamalkan tindakan ekstremisme dengan berulang kali menyasarkan syarikat dan masyarakat Cina.
Katanya, Akmal juga kerap menggunakan isu-isu kecil untuk membina imej sebagai wira bangsa.
“Sebagai ADUN dan Exco Negeri Melaka, beliau tidak menunjukkan sebarang rekod pencapaian membanggakan, sebaliknya hanya terlibat dalam ugutan terhadap peniaga serta tindakan samseng jalanan.
“Tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah membawa kebajikan kepada penduduk tempatan, tetapi jelas beliau mengabaikan peranan itu,” katanya.
Mengulas isu bendera terbalik baru-baru ini, DAPSY Johor berkata, kejadian itu hanyalah kesilapan tidak disengajakan oleh pemilik premis dan mereka telah memohon maaf secara terbuka.
“Sepatutnya isu itu selesai, tetapi Akmal seperti biasa memperbesarkan keadaan dengan kenyataan berbaur hasutan, malah menggerakkan orang ramai untuk berdemonstrasi di Kepala Batas atas alasan mahu mengajar cara menggantung bendera,” katanya.
DAPSY Johor berkata, tindakan Akmal yang berdiam diri apabila pihak lain, termasuk Kementerian Pendidikan dan Pemuda UMNO Terengganu, menggunakan bendera yang salah sebagai bukti sikap pilih kasih
“Jika begitu penting baginya mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, beliau sepatutnya mendidik dirinya dahulu. Sikap hipokrit ini jelas,” katanya.
Dalam pada itu, DAPSY Johor juga menuduh Dr. Akmal kerap membawa naratif selari dengan pembangkang dan bersekongkol dengan Perikatan Nasional (PN) dalam isu-isu berbaur perkauman.
“Tindakannya berarak bersama Ketua Armada di Kepala Batas membuktikan beliau sebenarnya ejen pembangkang. Lebih baik beliau keluar UMNO dan sertai PN secara terbuka.
“DAP tidak memerlukan sekutu yang angkuh dan bersikap samseng. Apa yang diperlukan ialah rakan seperjuangan yang mempunyai matlamat sama serta saling menghormati, bukan tin kosong yang hanya pandai membuat bising dan mengajak bertumbuk,” katanya. – UTUSAN






