KUALA LUMPUR: Suruhanjaya siasatan bebas nasional perlu ditubuhkan segera berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta kes-kes buli melibatkan pelajar yang berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Itu antara 11 tuntutan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Sekretariat Solidariti Zara berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
Wakil sekretariat, Brendon Gan, 21, berkata, antara tuntutan mereka menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan reformasi sistem pendidikan berkaitan kes buli dan mengadakan libat urus bersama mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk prosedur operasi standard (SOP) yang tegas berkaitan isu terbabit.
Katanya, NGO itu turut mendesak KPM supaya mengadakan latihan mandatori berkala kepada semua pendidik mengenai intervensi krisis dan pengendalian aduan mangsa buli dan melakukan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai tindakan yang telah diambil.
“Mahasiswa juga menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan perkembangan siasatan secara berkala.
“Kami juga menuntut supaya suruhanjaya siasatan bebas nasional bagi menyiasat kematian Zara Qairina dan kes buli sejak 10 tahun lepas dan melaksanakan inkues bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berhampiran Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Brendon berkata, mereka turut mendesak latihan khusus polis dalam mengendalikan kes buli, perlindungan penuh kepada saksi, tertuduh dan keluarga mangsa.
Katanya, ia bagi memberi sokongan psikososial serta pencegahan sebarang tindakan yang boleh menambah trauma terhadap keluarga mangsa termasuk penyebaran video atau komen yang menghina.
Hari ini, kira-kira 30 mahasiswa yang menganggotai NGO berkenaan berarak dari Taman Tugu sehingga ke pintu masuk Parlimen sebelum menyerahkan memorandum berkenaan kepada kira-kira 17 ahli Parlimen pada pukul 10.30 pagi.
Mereka ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Turut hadir Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya memberi jaminan isu kematian Zara Qairina akan dibawa ke perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kes ini tidak sepatutnya dilihat daripada sudut politik, bangsa atau agama kerana ia melibatkan nyawa seorang kanak-kanak. Ramai antara kami ada anak atau cucu seusia Zara, jadi mustahil kami memandang ringan perkara ini.
“Kami mohon kerjasama sepenuhnya daripada kementerian berkaitan termasuk KPM, KDN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memastikan keadilan ditegakkan, demi keselamatan semua pelajar dan generasi muda pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN





