KUALA LUMPUR: Meski pernah ditahan pihak berkuasa lebih 10 kali dan menerima enam sebatan namun seorang penagih dadah warga emas tidak serik apabila diberkas sekali lagi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah tapak pembinaan terbiar di Jalan Imbi di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 62 tahun itu yang menjadi penagih tegar sejak 40 tahun mendakwa sudah bertaubat sebelum ini.
“Saya sudah pernah bertaubat tetapi kembali menagih dadah. Sebelum ini pernah ditahan polis lebih 10 kali, pernah masuk penjara dan terima enam sebatan. Saya pernah terima rawatan di Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) di Kedah pada tahun 90-an,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini malam tadi.
Seorang lagi penagih berusia 50-an berkata, dia berharap kali ini dapat ‘bersih’ sepenuhnya daripada penagihan dadah.
“Ini baru kali pertama datang ‘port’ ini tetapi nasib tidak baik. Sebelum ini pernah masuk dalam beberapa tahun tetapi susah nak tinggalkan (penagihan dadah). Harap kali ini dapat ‘bersih’ sepenuhnya, saya nak bertaubat,” katanya.
Mereka antara 20 penagih dadah termasuk seorang wanita yang ditahan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Imbi dalam Op Perdana AADK malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, semakan pihaknya mendapati antara mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh kontrak dan pekerja binaan.
“Dadah ini bukan murah kerana memerlukan modal antara RM50 hingga RM100 sehari. Jika tidak bekerja, mereka cenderung terbabit dalam jenayah lain.
“Semua yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan sama ada di Puspen atau komuniti untuk tempoh sehingga dua tahun mengikut Seksyen 6 APD.
“Operasi Perdana AADK Wilayah Persekutuan akan diteruskan sebelum fokus dialihkan ke negeri lain. Tahanan kes ini akan direman 14 hari bagi pengesahan ujian urin di Jabatan Patologi,” katanya.
Menurutnya, operasi itu membabitkan kekuatan seramai 23 pegawai dan 54 anggota AADK Wilayah Persekutuan.
“Objektif utama pelaksanaan Op Perdana itu bertujuan untuk mengesan secara intensif penagih dan penyalah guna dadah bagi diberikan rawatan serta pemulihan yang ditawarkan oleh AADK menerusi program RPDI (rawatan dan pemulihan dalam institusi) atau RPDK (rawatan dan pemulihan dalam komuniti),” katanya.
Mengulas pindaan Akta Penagihan Dadah (APD) 1983 yang bakal dikuatkuasakan, beliau berkata penekanan diberikan kepada perluasan akses rawatan sama ada dalam komuniti atau institusi.
“Kali ini bukan sahaja penagih tegar, malah mereka yang salah guna dadah secara sosial turut boleh ditahan untuk diberi rawatan. Malah, penagih ketum juga termasuk dalam pindaan akta ini,” katanya.- UTUSAN






