PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan dasar khusus bagi memastikan pengikrar derma organ dapat merealisasikan hasrat mereka, berikutan hampir 90 peratus keluarga enggan memberi izin bagi proses pendermaan selepas pengikrar meninggal dunia.
Timbalan Pengarah (Pengoperasian Klinikal) NTRC, Dr. Hasdy Haron berkata, antara penyebab kadar pendermaan organ masih rendah di Malaysia ialah tidak mendapat kebenaran waris ataupun penolakan waris mengizinkan pendermaan organ dilakukan.
“Mereka (penderma )perlu berbincang bersama ahli keluarga kerana selepas kematian, hanya keluarga terdekat ataupun waris merupakan rujukan pihak hospital untuk mendapatkan keizinan.
“Selepas kehilangan insan tersayang, pihak hospital perlu bertanya kepada waris berhubung hasrat mereka untuk mendermakan organ dan tisu.
“Sebab itu, Malaysia mencatatkan kadar penolakan yang sangat tinggi iaitu sehingga 80 hingga 90 peratus ahli keluarga tidak memberi keizinan,” katanya mengulas mengenai laporan Nexbyte kelmarin hampir 11,000 pesakit buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru masih menunggu penderma organ sehingga Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly dilaporkan berkata, kes pesakit yang menunggu penderma organ baharu mencatatkan peningkatan 5.4 peratus berbanding tahun lalu dengan statistik Pusat
Sumber Transplan Nasional (NTRC), jumlah keseluruhan pengikrar penderma organ, mencecah 404,975 orang, sedangkan 10,441 pesakit dewasa dan 335 kanak-kanak menunggu transplan buah pinggang.
Selain itu, tiga pesakit dewasa dan dua kanak-kanak menunggu transplan hati, manakala 12 pesakit menunggu jantung, tiga (paru-paru), serta sembilan lagi (gabungan jantung dan paru-paru).
Dr. Hasdy berkata, pelbagai faktor mempengaruhi keputusan waris untuk tidak memberi keizinan, walaupun si mati berikrar sebagai penderma organ.
“Antara alasan utama ialah waris beranggapan tidak mahu insan tersayang ‘menderita’ lagi selepas meninggal dunia, tidak mengetahui atau tidak pasti mengenai hasrat si mati, bimbang jenazah akan cacat serta khuatir proses pendermaan akan melengahkan pengebumian.
“Hanya peratusan kecil, iaitu sekitar 2.9 peratus sahaja yang mengaitkan keengganan tersebut dengan faktor kepercayaan agama,” katanya.
Dr. Hasdy berkata, faktor lain perlu diberi perhatian ialah pengesanan potensi penderma organ secara sistematik di hospital-hospital apabila kematian berlaku.
“Pengesanan kematian yang didapati bersesuaian untuk menjadi penderma merupakan proses pertama dan penting bagi mendapatkan penderma selepas meninggal dunia.
“Negara-negara dengan kadar penderma yang tinggi, mempunyai sistem pengesanan yang sistematik serta berkesan,” katanya. – UTUSAN






