PETALING JAYA: Kira-kira 400 pengunjung di sebuah tapak perkhemahan di Kuala Kubu Bharu mengalami detik cemas apabila kawasan perkelahan itu tiba-tiba dilanda kepala air awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Harashid Rusli berkata, air deras yang melimpah dari sungai berhampiran menyebabkan ratusan mangsa terperangkap di khemah masing-masing sekitar pukul 5.47 pagi sebelum bantuan tiba.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
“Semua pengunjung diarahkan ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak risiko dihanyutkan arus deras. Anggota bomba melakukan pemantauan rapi sehingga paras air mula surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan bertambah baik apabila hujan yang mencetuskan limpahan air reda dan paras sungai kembali surut.
“Semua mangsa dilaporkan selamat dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa direkodkan sepanjang operasi,” katanya.
Katanya, operasi pemantauan turut dijalankan sehingga keadaan benar-benar terkawal bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Keseluruhan operasi membabitkan enam anggota dengan sebuah jentera dan tamat selepas paras air di kawasan berkenaan kembali surut sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN






