JOHOR BAHRU: Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 1,206 unit katil yang terdapat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini telah digantikan baharu demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan pesakit yang sedang menerima rawatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, perkara itu hasil sumbangan pelbagai pihak termasuklah syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu perseorangan.
Katanya, sasaran awal adalah untuk mengumpulkan 969 buah katil baharu untuk kegunaan HSA, namun pihaknya telah menerima sumbangan lebih daripada 1,000 unit katil setakat ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 830 unit katil telah dihantar, bersamaan kira-kira 80 peratus katil telah digantikan dengan yang baharu.
“Pihak hospital maklumkan ini kali pertama mereka terima penggantian katil secara besar-besaran, dengan maklum balas pesakit amat positif, termasuklah melibatkan wad kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melawat pengoperasian HSA, di sini hari ini.
Tian Soon memaklumkan kerja naik taraf wad di tingkat 5 bangunan induk HSA telah siap sepenuhnya dengan keadaan wad baharu adalah lebih terang, luas dan selesa berbanding sebelumnya.
“Wad baharu ini lengkap dengan sistem pendawaian elektrik dan bekalan oksigen yang baharu. Kontraktor dijadual menyerahkan wad ini kepada pihak hospital pada 28 September ini, sebelum pesakit dari wad lain akan dipindahkan ke sini.
“Tujuannya adalah agar kerja-kerja naik taraf di wad-wad lain juga dapat dilakukan secara berfasa. Namun bagi tujuan tersebut, empat wad melibatkan 117 buah katil perlu dihentikan operasi buat sementara waktu.
“Bagaimanapun pihak hospital telah mengambil langkah segera seperti menambah katil di wad sedia ada serta menggunakan ruang lain untuk menempatkan katil tambahan bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai khususnya pesakit dan waris mereka dapat bersabar, dimana apabila kerja naik taraf siap sepenuhnya kelak, pesakit sendiri akan menerima manfaatnya. – UTUSAN





