KUALA LUMPUR: Pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) masih perlu diperkukuh meskipun kejayaan terus dicatat di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara kekangan tersebut adalah termasuk soal kemudahan latihan, mobiliti antarabangsa, kurikulum serta persepsi masyarakat.
Katanya lagi, masih terdapat institusi TVET yang belum dilengkapi dengan fasiliti moden meskipun dunia industri bergerak pantas dengan penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
“Jika kita benar-benar mahu melahirkan tenaga kerja masa depan, kita tidak boleh membiarkan jurang ini berpanjangan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth Tvet Training (MCYTT)- MITRA di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan membuka peluang mobiliti antarabangsa bagi pelajar TVET agar mereka dapat menimba pengalaman di luar negara dan lebih berdaya saing.
Katanya, inisiatif Malaysia Chinese Youth Training and Talent (MCYTT) bersama MITRA telah membuka laluan konkrit kepada belia Malaysia untuk menjejak kaki ke institusi TVET bertaraf dunia di China.
Selain itu, Ahmad Zahid menegaskan kurikulum TVET tidak boleh kekal statik, sebaliknya perlu sentiasa dikemas kini selaras dengan keperluan industri global.
“Jika silibus ketinggalan, pelatih kita juga akan tertinggal daripada piawaian global,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut menekankan pentingnya mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET yang masih dianggap sebagai pilihan kedua.
“Hakikatnya, TVET adalah the fast track to the future dan laluan utama ke arah kerjaya berimpak tinggi dalam dunia moden,” katanya.
Jelasnya lagi, cabaran ini menuntut keberanian, kepimpinan dan transformasi daripada seluruh ekosistem TVET.
Katanya lagi, inisiatif seperti MCYTT–MITRA menjadi bukti bahawa negara sudah mula meruntuhkan halangan yang ada demi masa depan belia Malaysia.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan dua universiti di China menawarkan biasiswa penuh kepada peserta Malaysia Chinese Youth Training and Talent (MCYTT) untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.
Katanya, tawaran tersebut susulan keyakinan pihak universiti terhadap tahap kompetensi belia India yang pernah dihantar sebelum ini melalui program berkenaan.
Dua universiti berkenaan ialah Taizhou Vocational College of Science & Technology yang menawarkan 25 kuota dalam bidang Teknologi Logistik, serta Tangshan Polytechnic University yang menyediakan 20 kuota dalam bidang Electrical Automation Technology dan 20 kuota lagi dalam bidang Automotive Inspection and Maintenance Technology.
Katanya, syarat utama yang ditetapkan ialah pelajar perlu menduduki Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) atau Ujian Bahasa Mandarin dengan pencapaian sekurang-kurangnya tahap tiga. – UTUSAN





