KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkukuhkan sistem mitigasi banjir termasuk penggunaan alat pengesan berteknologi kecerdasan buatan (AI) selain menyelenggara kolam takungan di ibu negara termasuk sebagai persediaan menghadapi fenomena La Nina.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, alat pengesan dengan teknologi AI itu diletakkan di sungai sekitar ibu negara dan dipantau menerusi Pusat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC).
Katanya, terdapat beberapa perkara diketengahkan dalam kesiapsiagaan menghadapi banjir termasuk memastikan pam berfungsi dengan baik.
“Apabila air sungai naik pada paras bahaya, sensor berkenaan akan terus berhubung secara terus kepada jurutera bertugas melalui satu aplikasi khas. Dengan maklumat itu, kami boleh ambil tindakan segera dalam menghadapi bencana banjir.
“Kami turut melihat kedalaman serta kebersihan kolam takungan dan memastikan tiada longkang tersumbat yang boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa WPKL, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, pihak DBKL sudah menjalankan kajian terhadap lebih 130,000 pokok di sekitar ibu negara dengan 40,000 daripadanya yang berada di sepanjang jalan melalui proses pemangkasan pokok bagi mengelak insiden pokok tumbang.
“Kami juga ada melakukan kajian yang tidak hanya berkaitan banjir tetapi juga bencana lain termasuk pokok tumbang,” katanya.
Sementara itu, Maimunah berkata, Kuala Lumpur mempunyai dua peringkat pengurusan bencana iaitu peringkat daerah dan dalaman DBKL.
“Di peringkat daerah, bukan hanya ada DBKL (yang menyelaras bencana di Kuala Lumpur) tetapi juga membabitkan agensi lain termasuk pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.
“Di peringkat dalaman DBKL, kami ada pasukan khas berkaitan bencana alam yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.-UTUSAN





