PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.
AGC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mempengaruhi prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Jabatan ini telah menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada Che Muna Din pada 10 September lalu di bawah Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, berhubung satu hantaran di akaun Facebook “Mona Din” pada 4 September berkaitan prosiding Inkues Zara Qairina Mahathir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AGC, tindakan berkenaan merupakan sebahagian prosedur bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
“Hantaran yang dibuat antara lain mempertikai keterangan saksi pakar, Dr. Jessie Hiu, Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding Inkues yang sedang berjalan.
“Pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang mengeluarkan kenyataan mengenai kes sama akan dikemukakan dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN




