KOTA KINABALU: Bermula esok, inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara tertutup.
Ini kerana bermula esok, Mahkamah Koroner akan mula mendengar keterangan saksi kanak-kanak.
Mahkamah sepatutnya mula mendengar keterangan saksi kanak-kanak Jumaat lalu selepas saksi kelapan inkues, ketua warden, Azhari Abd. Sagap selesai memberi keterangan.
Namun prosiding terpaksa ditangguhkan selepas penyataan saksi dan butiran peribadi kanak-kanak yang dinamakan sebagai Pelajar A telah dibocorkan di media sosial.
Selain Pelajar A, turut tersebar nama penuh dan nombor kad pengenalan beberapa penghuni Asrama Qurratu ‘Ayun yang menempatkan dua blok pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah an Blok B, Sumayyah.
Blok A merupakan tempat tinggal Zara Qairina dan lokasi terakhir remaja terbabit ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili Pelajar A telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak; tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh, yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenalpasti.
Mana-mana pihak, termasuk orang awam yang melanggar peruntukan tersebut boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
Seramai 35 orang kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun akan dipanggil memberi keterangan dalam inkues tersebut.
Difahamkan ada dalam kalangan saksi-saksi itu merupakan rakan kepada Zara Qairina.
Sepanjang tempoh ini, orang awam dan media tidak dibenarkan untuk mengikut prosiding terbabit.
Malah sejak minggu lepas, media yang telah mengikuti prosiding tersebut sejak 3 September lalu telah diberitahu bahawa mereka hanya dibenarkan untuk berada di luar pintu utama Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Hanya ahli keluarga terdekat, pegawai pengendali inkues, peguam pihak-pihak berkepentingan dan kakitangan mahkamah dibenarkan berada dalam prosiding.
Pemerhati dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu selepas Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas tidak menerima sebarang bantahan daripada kesemua pihak.
Koroner itu turut memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak akan ditempatkan di dalam bilik saksi dan akan ditemani seorang pendamping yang terdiri daripada ahli keluarga dan seorang jurubahasa mahkamah.
“Saksi kanak-kanak akan diletakkan di hadapan kamera, jurubahasa akan duduk di sebelah saksi dan akan membantu menunjukkan bukti kepada saksi. Seorang pendamping kanak-kanak, akan duduk di belakang saksi kanak-kanak supaya dapat dilihat dengan jelas dalam kamera.
“Pihak-pihak terlibat juga dibenarkan untuk memakai baju biasa, tidak perlu pakai hitam putih. Kita tidak mahu saksi kanak-kanak erasa takut atau tertekan,”ujar koroner itu pada prosiding Jumaat lalu.-UTUSAN




