BUKIT MERTAJAM : Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa menyemak semula program yang ditawarkan terutamanya dalam bidang industri baharu seperti tenaga serta elektrikal dan elektronik.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, usaha itu sejajar dengan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, dua politeknik di wilayah utara iaitu Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kedah diminta untuk menyemak semula kursus yang ditawarkan supaya dapat memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, khususnya semikonduktor yang berkembang pesat.
“Memang kita sedang membuat beberapa pengubahsuaian, termasuk intervensi tertentu supaya para graduan lebih mudah untuk memasuki industri tersebut.
“Contohnya, apabila kita melaksanakan program intervensi latihan selama sebulan dan selepas tamat program itu, pelajar dijanjikan peluang pekerjaan dengan gaji permulaan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) Ke-24 di Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja profesional yang kompeten dan mampu bersaing di peringkat global.
Katanya, ia terbukti menerusi keberkesanan TVET terbukti menerusi pencapaian membanggakan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.8 peratus pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan keyakinan industri terhadap mutu pendidikan diberikan.
“Secara keseluruhannya, graduan politeknik dan kolej komuniti tidak menghadapi masalah untuk mendapat pekerjaan kerana sistem pembelajaran yang diamalkan adalah berteraskan pendekatan hands-on.
“Kita juga sentiasa menyemak semula kurikulum serta menjalankan libat urus dengan pihak industri agar program yang ditawarkan selari dengan permintaan dan keperluan semasa pasaran kerja,” katanya. – UTUSAN






