KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha yang menemui pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pertengahan Julai lalu memberitahu dia telah diminta untuk memadamkan gambar remaja terbabit.
Wanita berusia 65 tahun dan telah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar sejak 2001 itu memberitahu, ketua warden memintanya berbuat demikian kerana takut gambar tersebut ditularkan.
Gambar yang diambil Linah merupakan satu-satunya gambar yang diambil selepas remaja tersebut ditemukan dan telah diterima masuk sebagai bahan bukti dalam inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ketujuh, hari ini.
Saksi itu berkata demikian ketika ditanya oleh Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
“Ketua warden suruh delete. Dia kata, handphone (telefon bimbit) saya, budak-budak (penghuni asrama) sering dipinjam (untuk buat panggilan kepada keluarga) jadi takut nanti budak-budak nampak gambar itu dan viralkan,” kata saksi inkues keenam itu.
Ketika ditanya, siapa ketua warden tersebut, Linah menjawab: Ustaz Azhari.
Saksi itu memberitahu, ketua warden itu turut mengarahkan dua pelajar untuk mencuci darah Zara Qairina yang terdapat di atas koridor di hadapan bilik warden dicuci sebaik sahaja remaja terbabit dibawa ke hospital.
“Lepas diangkat ke ambulan, disuruh untuk cuci darah (depan bilik warden). Security (pengawal keselamatan) lelaki tolong suluh guna torch light sebab gelap.
“Darah tempat Zara jatuh tidak dicuci kerana hujan lebat, terus bersih. Tapi tempat kaki Zara jatuh, masih ada darah sebab ada simen situ. Sampai sekarang masih ada, dia (darah) sudah jadi hitam,” kata saksi itu.-UTUSAN




