PETALING JAYA: Tuntutan Sarawak supaya Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) menjadi pengagregat gas tunggal di negeri itu menimbulkan persoalan sama ada syarikat tersebut mampu menguruskan perniagaan secekap Petronas dalam jangka masa pendek.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, persoalan itu timbul berdasarkan ‘track record’ Petros masih baharu dalam industri minyak dan gas (O&G) tanpa pengalaman dan rangkaian seperti dimiliki Petronas.
Katanya, bagi menguruskan perniagaan itu, Petros mungkin terpaksa melantik syarikat perunding antarabangsa untuk memperoleh pengalaman dan rangkaian bagi jangka masa pendek namun ia sesuatu yang merugikan.
“Isu lebih besar daripada pembayaran dividen tahunan Petronas kepada kerajaan adalah Petros belum ada pengalaman dan network dalam industri. Masalahnya, bolehkah Petros kendalikan perniagaan sama cekap dengan Petronas untuk jangka masa pendek.
“Petros mungkin boleh ambil syarikat perunding antarabangsa tetapi kenapa perlu membazir? Kenapa tidak ambil saja Petronas jadi kontraktor mereka. Ini mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pihak.
“Apa yang penting sekarang ini adalah Petronas dan Petros perlu berunding untuk menyelesaikan segala konflik secara harmoni sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Nexbyte.
Baru-baru ini, Penasihat undang-undang Sarawak, Datuk Seri JC Fong mahu Petronas menghormati undang-undang Sarawak dan mengiktiraf Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak di bawah Ordinan Agihan Gas (DGO) negeri, yang telah dipinda pada 2023.
Fong dalam satu portal berkata, Sarawak hanya menerima kira-kira RM49 billion bayaran tunai daripada Petronas antara 1975 hingga 2024 di bawah perjanjian royalti petroleum antara kedua-dua pihak.
Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menandatangani deklarasi bersama dalam usaha memartabatkan industri minyak dan gas negara.
Dalam perbincangan tersebut, telah membawa kepada pelantikan Petros sebagai agregator gas di negeri itu.
Pada masa yang sama, kedua-dua kerajaan menyatakan mereka akan terus mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum sebagai satu Akta Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam peruntukan undang-undang dan memberi jaminan bahawa kontrak eksport sedia ada tidak akan terjejas.
Pertemuan itu adalah susulan tindakan kerajaan Sarawak mengemukakan surat tuntutan bertarikh 4 Mei tahun ini kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji pemprosesan gas kendalian PCSB di Miri didakwa beroperasi tanpa permit sah di bawah undang-undang.
Mengulas lanjut, Barjoyai mengingatkan bahawa objektif penubuhan Petronas adalah antara lainnya sebagai sebuah entiti mengutip royalti daripada syarikat petroleum antarabangsa yang beroperasi di negara ini dan memberi dividen kepada kerajaan berdasarkan hasil tersebut.
“Jadi maknanya itu merupakan satu lagi perspektif yang mungkin Petros akan mengganti Petronas membayar royalti kepada Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan merupakan pemerintah induk. – UTUSAN





