PETALING JAYA: Cadangan menempatkan laluan Pra Universiti seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disifatkan langkah tepat bagi memastikan penyelarasan kemasukan ke universiti lebih teratur.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sebelum 1998, matrikulasi sebenarnya diuruskan oleh universiti-universiti besar seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan UKM sendiri.
“Selepas 1998, kerajaan mengambil keputusan untuk menyatukan semua program matrikulasi dan meletakkannya di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan penyelarasan ketika itu. Namun, perlu diingat, KPT hanya diwujudkan pada 2004.
“Pada asalnya matrikulasi memang diwujudkan sebagai laluan ke universiti. Justeru, jika kini ia diletakkan semula di bawah KPT, langkah itu selari dengan tujuan asal program tersebut,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Anuar berkata, penyelarasan penting supaya perjalanan pendidikan pelajar lebih jelas dan konsisten.
“Kalau prasekolah diletakkan di bawah KPM supaya murid mendapat persediaan sebelum masuk Tahun Satu, wajar juga STPM dan matrikulasi sebagai pra universiti diletakkan di bawah KPT. Dengan cara itu, penyelarasan pendidikan tinggi dapat dimulakan lebih awal,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan laluan kemasukan universiti awam melalui STPM dan matrikulasi disatukan di bawah KPT berikutan sistem kemasukan universiti yang berpecah antara dua kementerian menjadi punca timbulnya kontroversi berulang saban tahun.
Beliau dipetik sebagai berkata, penyatuan laluan ini juga akan membuka jalan kepada pembentukan sistem tunggal kemasukan universiti yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab. – UTUSAN






