KOTA KINABALU: Saksi pertama inkues kematian Zara Qairina Mahathir membuat laporan polis atas beberapa ugutan yang diterimanya melalui media sosial.
Menurut sumber, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu telah membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut, semalam.
Beliau selesai memberi keterangan pada inkues tersebut pada Khamis lalu.
Dalam keterangannya, pakar patologi itu menyatakan walaupun kecederaan pada bahagian luar dan dalaman tubuh konsisten dengan seseorang jatuh dari tempat tinggi namun mustahil remaja itu ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba.
Ini kerana, tembok penghadang yang ada di setiap tingkat Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut mempunyai ketinggian hampir tiga per empat tubuh remaja terbabit menyebabkan sukar untuk senario itu berlaku.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan kecederaan, bedah siasat dan lawatan ke lokasi kejadian, Dr. Hiu menyatakan terdapat berkemungkinan Zara Qairina melompat dari tepi (luar) tembok penghadang konkrit (concrete ledge) atau menghayunkan badannya (swing over).
“Kalau dalam posisi duduk dan kemudiannya terjatuh, seseorang itu akan jatuh ke hadapan dan mendarat kepala dahulu sama ada di dalam longkang atau berhampiran longkang. Kalau dalam keadaan berdiri dan terjatuh, badan akan berpusing dan kepala akan jatuh terlebih dahulu sama ada dalam longkang atau berhampiran longkang.
“Terdapat jarak di antara kaki kiri Zara Qairina ketika ditemukan pada 16 Julai lalu dan longkang. Untuk berada di lokasi ia ditemukan dengan kaki mendarat dahulu, seseorang perlu melompat dari tembok penghadang atau bergayut sambil memegang palang besi sebelum melonjakkan badan ke hadapan,” kata Dr. Hiu ketika memberi keterangan.
Pakar patologi itu juga menyatakan sebuah mesin basuh domestik tidak boleh beroperasi sekiranya beban muatan 53 kilogram (berat badan remaja terbabit) dimasukkan ke dalamnya.
Pakar patologi terbabit bagamanapun ketika ditanya oleh salah seorang peguam yang mewakili lima remaja yang didakwa membuli Zara Qairina enggan membuat sebarang dapatan sama ada situasi Zara Qairina jatuh itu adalah atas kerelaan sendiri.
Dr. Hui merupakan merupakan salah seorang daripada empat pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat mayat remaja berkenaan selepas kuburnya digali semula.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Berikutan itu, pada hari berikutnya, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke HQE I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi 10 Ogos lalu di tanah perkuburan sama.
Prosiding inkues itu bersambung Isnin ini. – UTUSAN






