KLANG: Penulis blog, Papagomo dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan Barat, dua tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di prosiding akhir kes pendakwaan.
Pada 8 Januari lalu, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut dengan mengaitkan kerajaan sebagai pro kepada Israel dan Barat menerusi laman Facebook.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa membuat kenyataan itu di Facebook menggunakan nama akaun ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan ia dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 1 tengah hari, 8 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Deepa Nair Thevaharan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali serta Logen Eskander. – UTUSAN






