KOTA KINABALU: Peguam mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Allahyarham Zara Qairina Mahathir memohon agar kesemua buku nota dan helaian-helaian kertas yang dipercayai ditulis oleh pelajar tingkatan satu itu dihantar untuk penilaian psikiatri.
Datuk Ram Singh ketika membuat permohonan tersebut memberitahu, penilaian itu penting bagi mengetahui keadaan mental (state of mind) mangsa.
Katanya, pihaknya juga tidak membantah sekiranya pakar psikiatri ingin berjumpa dengan anak guamnya, namun meminta untuk turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut.
“Penilaian psikiatri ini penting untuk tahu keadaan mental Zara Qairina ketika itu, adakah dia dalam keadaan murung atau lain-lain isu (yang mungkin menyumbang kepada insiden malang tersebut).
“Kami tidak kisah jika pakar ingin menemu bual anak guam kami tapi kami perlu ada bersama ketika itu.
“Mohon mahkamah mengeluarkan arahan kepada pegawai pengendali untuk merujuk buku-buku nota tersebut kepada pakar psikiatri kerajaan,” kata peguam itu.
Koroner Amir Shah Amir Hassan bagaimanapun tidak membuat sebarang keputusan berhubung permohonan tersebut.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, buku-buku nota dan helaian-helaian kertas itu mempunyai persamaan dengan tulisan Zara Qairina.
Sehubungan itu, koroner mengarahkan agar prosiding diteruskan sebagaimana dijadualkan sebelum ini dan beliau akan membuat keputusan sewajarnya bila tiba masanya.
Pada 9 September lalu, pemeriksa dokumen daripada Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd. Noh memberitahu, beliau telah memeriksa empat buah buku nota, dua buku teks dan 15 helaian kertas yang didakwa mempunyai persamaan dengan tulisan Zara Qairina.
Salah satu helaian kertas tersebut mempunyai kesan tompokan dan calitan dipercayai darah.
Pada muka surat yang tertulis tarikh 5/1/25 (ada kesan dipercayai darah) terdapat tulisan tangan antara lain menyebut: “Dengan (tulisan tidak lengkap) Bismillah, saya Zara Qairina binti (tulisan tidak lengkap) ingin memutuskan persahabatan (nama tidak jelas).”
Di bahagian belakang helaian yang sama pula tertulis perkataan ‘AKU RINDU KAMU’ dan contengan memenuhi muka surat tersebut.-UTUSAN




