KOTA KINABALU: Salah seorang peguam yang pernah mewakili keluarga pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman hari ini.
Hamid Ismail mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Turut hadir pada Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Pesuruhjaya Kehakiman ialah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Hamid yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa memulakan kerjayanya sebagai peguam pada September 2001, kemudian bekerja di beberapa firma guaman sebelum membuka firmanya sendiri pada Julai 2004.
Terdahulu, turut mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman ialah Steve Ritikos dan Ratanah Devi Yusof Perumal.
Beliau yang berasal dari Sarawak memulakan kerjayanya sebagai Majistret pada Disember 1991 di Mahkamah Kuala Lumpur.
Steve pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi selama lima tahun sebelum memulakan khidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kuching Sarawak pada September 2009.
Beliau mula menjadi Hakim Mahkamah Sesyen pada Mei 2014 sebelum dilantik menjadi Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak pada April 2021.
Sementara itu, Ratanah Devi Yusof Perumal memulakan kariernya dalam bidang perundangan sebagai peguam pada Februari 2001.
Beliau pernah berkhidmat di beberapa firma guaman sebelum membuka firmanya sendiri pada 2018. – UTUSAN






