KOTA KINABALU: Empat hari sebelum pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri, Pelajar A telah mengikut remaja terbabit ke rumah pelajar Tingkatan Satu itu untuk bermalam.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat kepada ketua warden, Azhari Abd. Sagap ketika mereka bertemu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai lalu.
“Semasa di (Unit) Kecemasan, ibu Zara cerita yang Zara di rumah ceria-ceria sahaja dan rajin menulis-nulis dan Pelajar A kawan baik Zara (dan) dia tahu dari a hingga z. Yang saya tahu, Pelajar A ini (pernah) ikut Zara balik ke Sipitang pada 12 Julai.
“Masa tu sekolah ada gotong-royong PIBG. Masa itulah Pelajar A ikut Zara balik ke Sipitang. Mungkin sebab itu ibu Zara fikir Pelajar A kawan baik Zara, yang kenal Zara,” kata saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-10, hari ini.
Dalam perbualan di Unit Kecemasan itu juga, Noraidah memberitahu, dia telah kehabisan air mata kerana menangis dari Sipitang ke HQE selepas dimaklumkan mengenai Zara Qairina.
Beliau berkata demikian ketika ditanya peguam Joan Goh yang mewakili Pelajar A.
Pelajar A merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Selain itu, Azhari yang turut dipanggil Ustaz Azhari memberitahu pada 26 Julai lalu, ibu kepada Pelajar A ada berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp dan bertanya adakah guru berkenaan `diganggu’ oleh Noraidah.
“Ibu pelajar A chat saya, `Salam Cikgu eh Ustaz, nak tanya, ada tak mak Zara ganggu Ustaz? Saya jawab, wassalam Puan, tiada saya berhubung langsung dengan ibunya. Kenapa ya, saya tanya. Ibu Pelajar A jawab, ibu Zara tengah ganggu A ni dia melalui WhatsApp. Segalanya dia WhatsApp saya, saya dah screenshot pada IO. Dari semalam dia ganggu sudah.
“Saya jawab, tak apa puan. Apa-apa hal, puan melalui saja pada IO. Ibu Pelajar A jawab, ya, tu lah. Saya jawab, sebab saya memang tidak berhubung dengan ibunya (Noraidah),” kata Azhari yang turut memaklumkan dalam perbualan WhatsApp berkenaan, ibu pelajar itu memberitahu akan menambah cuti anaknya.
Selain itu, Azhari memberitahu ibu Pelajar A turut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kecaman yang dilemparkan kepada anaknya itu.
“Ibu Pelajar A jawab, saya akan tambah cuti Pelajar A lagi. Saya trauma dah ini, mula nak mengacau Pelajar A ini, Ustaz. Mesti ada berita br viral akan keluar esok ini. Dia petik nama A, dia siap.
“Saya jawab, ok puan, buat surat untuk maklumkan ada PKHEM untuk makluman cuti. Ibu Pelajar A jawab, bermacam fitnah dia pada Pelajar A,” ujar guru Bahasa Arab itu ketika membacakan teks perbualan itu.
Selain itu, guru berkenaan turut memaklumkan, disebabkan beberapa teks WhatsApp daripada ibu Pelajar A, beliau memutuskan untuk tidak membenarkan pelajar membuat sebarang panggilan telefon pada 16 Julai lalu.
“Ibu Pelajar A telah dihubungi oleh ibu salah seorang pelajar lain yang mengatakan Pelajar A telah menemani Zara di hospital tetapi itu tidak sohih. Hakikatnya Pelajar A ada di sekolah, kami tahan untuk soal siasat di Bilik Isolasi.
“Ini menjawab kenapa pelajar tidak dibenarkan buat panggilan pada 16 Julai lalu.
Prosiding bersambung Isnin ini.-UTUSAN




