KUALA LUMPUR: Kepelbagaian laluan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dipertahankan serta diperkukuh agar generasi masa depan terus menerima manfaatnya dan negara tidak kehilangan sumber bakat berharga.
Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kenyataan berkata, perkara itu tidak wajar dipersoalkan kerana ia menjadi asas keterangkuman pendidikan negara.
Katanya, laluan seperti matrikulasi, asasi, diploma, prauniversiti dan kelayakan antarabangsa telah terbukti membuka ruang lebih luas kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mengakses peluang pendidikan secara adil dan seimbang.
“Jika kemasukan dihadkan hanya melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ribuan pelajar matrikulasi dan diploma akan terkesan.
“Langkah sebegini berisiko menutup ruang pendidikan tinggi kepada sebahagian besar pelajar serta mengekang usaha negara mewujudkan keterangkuman dan mobiliti sosial,” katanya.
Katanya, program matrikulasi dan diploma telah melahirkan ramai graduan cemerlang yang kini berkhidmat dalam sektor kritikal negara termasuk pentadbiran awam, industri, akademik, penyelidikan dan keusahawanan.
Malah, sistem kemasukan sedia ada berasaskan meritokrasi secara telus dibuat dengan penilaian akademik dan kokurikulum yang adil tanpa mengira latar belakang pelajar.
“Keanjalan laluan ini membolehkan pelajar memilih bidang pengajian mengikut potensi, minat dan kebolehan masing-masing, sekali gus melahirkan graduan holistik yang seimbang,” tambah kenyataan itu.
Katanya lagi, UKM akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara dengan menekankan kualiti, keterangkuman dan daya saing agar bakat terbaik terus diberi peluang menyumbang kepada pembangunan Malaysia secara menyeluruh.
UKM percaya sistem pendidikan tinggi inklusif yang diamalkan pada masa ini adalah asas kejayaan negara dalam melahirkan modal insan unggul yang bersedia menghadapi cabaran global. – UTUSAN






