PETALING JAYA: Pemulihan aset melalui kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi pemangkin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pembaharuan strategi membanteras rasuah rentas sempadan.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad berkata, sehingga Mei lalu, SPRM berjaya memulangkan sejumlah aset bernilai RM29.79 bilion, iaitu 70 peratus daripada jumlah dana yang diselewengkan dalam kes 1MDB kepada kerajaan.
Beliau berkongsikan perkara itu, semasa menjadi ahli panel sesi perbincangan mengenai Bantuan Teknikal dalam Kerjasama Antarabangsa dan Pemulihan Aset pada Persidangan Antarabangsa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) di Vienna, Austria baru-baru ini.
Katanya, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh bantuan teknikal, mempercepatkan saluran komunikasi, berkongsi amalan baik serta memastikan aset yang dipulihkan dapat digunakan untuk manfaat bersama, sejajar dengan prinsip UNCAC.
“Pelbagai topik turut diketengahkan termasuk amalan baik dan cabaran dalam maklumat pemilikan benefisial, alternatif kepada penguatkuasaan tradisional melalui pendekatan inovatif seperti illicit enrichment (peningkatan kekayaan secara tidak sah).
“Selain itu bantuan kehakiman bukan jenayah dan litigasi sivil, isu rasuah melibatkan kumpulan jenayah terancang, penafian perlindungan kepada pelaku rasuah serta pencegahan rasuah dalam dasar imigresen, pelaburan dan perlindungan pelarian turut diketengahkan.
“SPRM turut berkongsi pengalaman Malaysia melalui kes 1MDB yang menjadi pemangkin kepada pembaharuan strategi membanteras rasuah rentas sempadan, apabila pasukan petugas khas melibatkan SPRM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan digerakkan untuk menyelaras siasatan, tindakan undang-undang serta kerjasama dengan pelbagai negara,” katanya. – UTUSAN





