KOTA KINABALU: Penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan tuntutan 35 peratus perwakilan dari kedua-dua negeri bagi mengembalikan keseimbangan kuasa legislatif dalam Persekutuan Malaysia.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic berkata, ketidakadilan sejarah berlaku selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965 yang menyebabkan semua kerusi dikosongkan diserahkan kepada Semenanjung.
“Dengan itu, tiada satu wilayah pun boleh mendominasi undang-undang tanpa persetujuan rakan wilayah lain.
“Pertambahan kerusi ini bukan sahaja memperbetulkan keadaan tersebut tetapi juga memperkukuh semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjamin hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan,” katanya kepada Nexbyte.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah bagi memenuhi tuntutan kedua-dua negeri di bawah semangat MA63.
Anwar berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63, susulan permohonan rasmi daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang mahu jumlah kerusi ditingkatkan.
Ketika ini Sabah memiliki 25 kerusi Parlimen dan Sarawak 31 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Ketua UPKO Bahagian Libaran, Dr. Peter Naintin berkata, satu kerusi baharu perlu diwujudkan di Sandakan iaitu Parlimen Sepilok kerana kawasan itu berpotensi menjadi pusat tarikan industri pelancongan baharu.
Beliau berkata, ia juga bagi memastikan agihan dana pembangunan lebih seimbang di daerah berkenaan.
“Penambahan kerusi Parlimen ini adalah satu bentuk pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak. Malah, saya mencadangkan agar satu kerusi baharu diwujudkan di daerah Sandakan dengan nama Parlimen Sepilok,” katanya. – UTUSAN





