KANGAR: Perlis mencadangkan pelaksanaan caj RM2 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian, sebagai langkah yang mampu menjana jutaan ringgit setahun hasil limpahan pelancong ke negeri itu.
Melalui caj itu, Perlis mampu menjana pendapatan jutaan ringgit selepas mengambil kira jumlah pelancong memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar dan Wang Kelian pada musim cuti persekolahan, cuti peristiwa dan hujung minggu yang boleh mencecah antara 30,000 sehingga 50,000 orang.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, cadangan telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat tahun lalu, namun masih menunggu pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
Katanya setiap pelancong keluar ke Thailand melalui sempadan negeri ini bayar caj khas RM2 dan hasilnya dikembalikan kepada negeri.
“Caj tidak membebankan kerana jumlahnya kecil malah ia selari dengan amalan Singapura yang telah lama mengenakan caj khas kepada pelancong,” katanya.
Rekod imigresen mencatatkan, setiap kali musim cuti panjang atau cuti peristiwa bersambung hujung minggu, antara 30,000 hingga 50,000 rakyat Malaysia melalui sempadan Perlis untuk ke Thailand, dengan antara 100,000 hingga 200,000 rakyat Malaysia memasuki negara jiran itu setiap bulan. Anggaran perbelanjaan lebih RM4 bilion setahun mengalir ke negara jiran tersebut.
Justeru Malaysia perlu mengambil manfaat daripada jumlah dan angka itu.
Mohd. Shukri berkata, bagaimanapun cadangan caj berkenaan, hanya melibatkan pintu masuk darat, manakala permintaan Thailand untuk membuka semula laluan laut ke Satun tertakluk kepada keputusan Kerajaan Pusat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, trend rakyat Malaysia melancong ke Thailand melonjak dalam tempoh tiga hari pada cuti hujung minggu dan sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini dengan catatan 75,000 pengunjung.
Katanya sekiranya seorang belanja RM400, ia menjana hasil kepada Thailand sehingga RM30 juta dalam tempoh hanya tiga hari. – UTUSAN






