KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan wujudnya amalan ‘kursus lelong’ dalam proses penawaran pengajian kepada pelajar baharu, seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh menegaskan, semua tawaran kursus dibuat berdasarkan pilihan yang diisi oleh pelajar dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dan bukannya secara rawak atau dipaksa.
“Tiada kursus dilelong di UKM. Apa yang berlaku, ada pelajar tidak mendapat pilihan pertama atau kedua kerana faktor kuota dan kelayakan, lalu ditawarkan kursus lain yang mereka sendiri senaraikan. Itu bukan bermakna kursus tersebut dilelong,” katanya pada sidang media sempena pendaftaran pelajar baharu UKM di Kampus Ceras, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan beberapa pihak yang mendakwa pelajar ditawarkan kursus tidak diminati atau tidak dipilih langsung, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah universiti menawarkan kursus secara rawak untuk mengisi kekosongan.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut menolak dakwaan kononnya institusi pengajian tinggi (IPT) negara gagal menawarkan program selaras dengan keperluan pasaran. Beliau dipertik sebagai berkata, semua kursus ditawarkan selepas melalui penilaian ketat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sufian berkata, pemilihan pelajar juga melibatkan pelbagai saringan termasuk video, temuduga berpusat serta semakan akademik, khususnya bagi fakulti yang mempunyai kuota terhad seperti Perubatan dan Farmasi.
Justeru, kuota ditentukan kerajaan serta badan profesional bagi mengelakkan lambakan graduan.
“Sebab itu walaupun cemerlang, tidak semua pemohon boleh diterima malah semua kursus di UKM diiktiraf MQA serta badan profesional berkaitan dan disemak semula setiap lima tahun bagi memastikan ia kekal relevan.
“Isu kursus lelong tidak timbul kerana universiti sentiasa menekankan kualiti dan integriti akademik. Tawaran dibuat berasaskan pilihan pelajar dan ketetapan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN






