PETALING JAYA: Isu pembatalan ceramah pendakwah terkenal, Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan selesai apabila beliau bersetuju memilih tarikh baharu untuk menyampaikan ceramah di masjid berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas beliau sendiri menghubungi Wadi bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu yang tular sebelum ini.
Katanya, beliau turut berhubung dengan Pengerusi serta individu yang mewakafkan Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Rashid Hussain sebelum semua pihak mencapai persetujuan.
“Alhamdulillah, Ustaz Wadi dengan berlapang dada menerima undangan semula dan akan memilih tarikh baharu yang sesuai.
“Terima kasih saya ucapkan kepada beliau serta Tan Sri dan jawatankuasa masjid atas kerjasama memakmurkan masjid melalui ceramah, pembangunan, pemeliharaan dan aktiviti ibadah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd. Na’im berkata, usaha mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama demi menjadikan institusi itu sebagai pusat peradaban Islam yang memperkasakan umat.
“Dengan semangat ukhuwah dan kerjasama, masjid mampu menjadi sumber keberkatan dan rahmat kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, Ustaz Wadi menerusi satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu lalu dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Beliau turut mendakwa sudah mendapat surat tauliah daripada pihak MAINS. – UTUSAN



