KOTA KINABALU: Tindakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dibunuh adalah satu tuduhan yang melulu.
Kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik juga merupakan satu perkara yang tidak bertanggung jawab.
Menurut barisan penguam yang mewakili empat remaja yang didakwa mengeluarkan kata-kata mencela terhadap Zara Qairina, tindakan itu adalah satu tindakan mengeksploitasi satu tragedi untuk kepentingan politik.
Remaja yang dinamakan sebagai Pelajar B, Pelajar C, Pelajar D dan Pelajar E juga akan me jadi saksi dalam inkues itu.
“Kenyataan Datuk Seri Panglima Haji Shafie Apdal adalah tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan.
“Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami.
“Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang,”ujar peguam-peguam terbabit dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.
Peguam-peguam terbabit ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan.
Barisan peguam itu merujuk kepada satu video di Facebook menunjukkan Shafie membuat kenyataan berunsur hasutan mengenai prosiding inkues yang sedang berlangsung berhubung kematian Zara Qairina.
“Mengeksploitasi satu tragedi untuk kepentingan politik adalah tahap paling rendah mana-mana ahli politik boleh pergi. Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik.
“Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya.
“Tindakan sedemikian adalah satu pengkhianatan terhadap kewajipan itu dan merosakkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan,” ujar peguam itu.
Tambahnya, inkues adalah suatu prosiding kehakiman yang menuntut penghormatan sepenuhnya.
“Sebarang cubaan untuk mengeksploitasi tragedi ini bagi keuntungan politik atau penciptaan kandungan adalah satu penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
“Tindakan sedemikian adalah cuai, sama sekali tidak wajar dan jelas merendahkan martabat serta kewibawaan yang wajib dipelihara oleh seorang pemimpin awam.
“Kenyataan yang pramatang dan tidak bertanggungjawab juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina yang sedang berduka.
“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputarbelit dalam ucapan politik atau di media sosial,”kata barisan peguam itu.-UTUSAN




