PETALING JAYA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima impak positif menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan hari ini khususnya berkaitan aspek pembiayaan, inovasi serta pengukuhan eksport.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, perluasan jaminan kredit Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion serta komitmen RM50 bilion untuk pembiayaan PMKS mencerminkan kesungguhan kerajaan menangani isu utama sektor berkenaan iaitu kekangan akses kepada modal mampu milik.
“Langkah ini membantu PMKS memperkukuh aliran tunai dan meluaskan operasi, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kerajaan mengumumkan langkah memperkukuh keupayaan eksport PMKS menerusi jaminan eksport SJPP bernilai RM5 bilion, geran pembangunan pasaran Pembangunan Pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebanyak RM60 juta serta perluasan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) ke peringkat ASEAN.
William berkata, penekanan terhadap pendigitalan, automasi dan penerapan kecerdasan buatan (AI) melalui pelbagai agensi juga sejajar dengan usaha mempertingkat produktiviti serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan usahawan tempatan.
“Selain itu, pelaksanaan setiap inisiatif mesti inklusif dan sampai kepada perniagaan mikro di luar Lembah Klang, terutamanya di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak agar manfaatnya lebih seimbang,” katanya.
Ujar beliau lagi, beliau berharap belanjawan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada PMKS menembusi pasaran serantau.
“Sebagai belanjawan pertama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memberi isyarat jelas bahawa kerajaan komited menjadikan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi.
“Yang penting kini ialah pelaksanaan yang konsisten dan menyeluruh supaya setiap inisiatif benar-benar dirasai di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN






