KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan untuk memperkasa golongan usahawan mikro agar mampu beralih kepada kategori kecil dan sederhana sekali gus meningkatkan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 1.089 juta rakyat Malaysia terbabit dalam bidang keusahawanan.
Kata beliau, daripada jumlah itu, hanya 71 peratus terdiri daripada usahawan mikro yang dilihat masih memerlukan dorongan serta sokongan strategik bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing.
“Ini tidak mencukupi kerana kita mahu supaya mereka (usahawan mikro) dinaik taraf menjadi usahawan-usahawan kecil agar jumlah pengeluaran dan juga perkhidmatan yang mereka berikan itu akan mempertingkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan.
Dalam mesyuarat tersebut, Ahmad Zahid menyerahkan surat lantikan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Penasihat Khas PMKS Kebangsaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara memberi jaminan akan memperhalusi isu berkaitan kesukaran mendapatkan pensijilan halal yang sering dihadapi usahawan kecil dan mikro.
“Ramai usahawan mengadu sukar memperoleh sijil halal. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Halal Negara supaya agensi dan kementerian berkaitan dapat menyelaras usaha mempermudah proses, bukan menyusahkannya,” katanya. – UTUSAN






