MELAKA: Juara SportExcel Malaysia Junior Golf tahun lalu di Melaka, Muhammad Izzul Irfan Md Zaini muncul juara kategori remaja lelaki pada hari terakhir sesi pertama pemilihan skuad golf Melaka ke Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) di sini hari ini.
Catatan 74 pukulan keseluruhan mengumpul 229 pukulan sudah memadai buat pemain berusia 17 tahun itu berjaya mengatasi 10 pemain lain yang cuba mendapat tempat beraksi di Selangor tahun depan.
Keadaan padang yang lembab tidak menghalang Muhammad Izzul Irfan memintas pendahulu pada hari kedua semalam iaitu juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2025 (MSSM), Declan Ooi Ean Yui.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat bermain dengan baik pada hari ini walaupun pada hari kedua sekadar mencatat 76 pukulan.
“Hari ini kedi banyak membantu untuk saya melakukan putting dengan sempurna selain pukulan driving pula tidak tersasar dari fairway,” ujarnya kepada Nexbyte di sini hari ini.
Sementara itu Declan Ooi berada di tempat kedua dengan catatan 231 pukulan manakala juara MSSM 2024, Muhammad Adif Haikal Md. Hazan sekadar berada di ketiga keseluruhan melakukan 232 pukulan.
Sementara itu juara Golf Amatur Bangladesh 2024, Putri Natasha Ameera Roslee, 16, menepati ramalan mengungguli kategori remaja perempuan apabila mencatat 74 pukulan dan keseluruhan mengumpul 237 pukulan.
Juara tiga kali Golf Jelajah SportExcel di Sabah, Danau Kota dan Seremban tahun ini nyata sukar digugat sejak hari pertama muncul sebagai pendahulu.
“Hari ini saya bermain amat cemerlang berbanding dua hari sebelum ini segalanya menjadi buat saya walaupun tidak ada sebarang birdie,” ujarnya.
Nur Fathia Emilda Azrul Nizan pula berada di tempat kedua dengan catatan 245 pukulan manakala Amirah Nur Hanania Afanizam pula di tempat ketiga dengan catatan 246 pukulan.
Katanya, dia amat berharap untuk meneruskan reputasinya untuk dipilih mewakili Melaka apabila mengharungi sesi pemilihan kedua November nanti.
Seramai 21 pemain mengharungi sesi pemilihan pertama pemilihan skuad SUKMA Melaka dan akan mengharungi sesi pemilihan kedua di Kelab Golf Orna & Country, November ini. – UTUSAN






