PETALING JAYA: Pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, menyifatkan layanan tentera Zionis terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai sangat teruk dan tidak berperikemanusiaan.
PU Rahmat yang menaiki kapal Estrella merupakan salah seorang daripada 22 lagi sukarelawan Malaysia ditahan rejim Israel pada Khamis lalu ketika dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza.
Selepas dibebaskan dan tiba di Istanbul semalam, beliau berterima kasih kepada kerajaan Turkiye atas bantuan yang diberikan kepada kumpulan berkenaan sejurus dibebaskan.
“Terima kasih kepada kerajaan Turkiye atas penginapan dan sokongan yang amat baik. Kami dari Malaysia amat menghargainya dan terus mendoakan kebebasan buat Palestin,” katanya dalam temu bual bersama media antarabangsa di Lapangan Terbang Istanbul.
Ketika diminta mengulas mengenai layanan rejim Zionis ketika ditahan di Penjara Ketziot, PU Rahmat berkata, mereka dilayan dengan teruk oleh rejim Israel.
“Layanan mereka sangat-sangat teruk, tidak baik dan kita perlu terus boikot Israel,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel dalam misi GSF telah dibebaskan dan kini berada di Istanbul sebelum dijadualkan pulang ke tanah air.
Seramai 23 rakyat Malaysia itu merupakan antara 500 aktivis dari 45 negara yang menyertai misi GSF bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Mereka ditahan selepas kapal yang dinaiki dipintas tentera Israel di perairan Mediterranean sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Setakat malam tadi, seramai 137 daripada 462 aktivis GSF telah dibebaskan oleh tentera Israel.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, mereka terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia. – UTUSAN






