LANGKAWI: Seramai 40,234 penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan feri antara Langkawi dan tanah besar dalam tempoh empat hari bermula 17 hingga 20 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 18,577 orang merupakan penumpang yang keluar dari pulau berkenaan manakala 21,657 orang lagi merupakan penumpang yang masuk ke Langkawi.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., laluan Langkawi–Kuala Perlis merekodkan jumlah penumpang tertinggi bagi perjalanan keluar dengan 10,932 orang, diikuti Langkawi–Kuala Kedah seramai 7,645 orang.
Sementara itu, bagi perjalanan masuk ke Langkawi, laluan Kuala Perlis–Langkawi mencatat jumlah tertinggi dengan 12,288 penumpang manakala Kuala Kedah–Langkawi merekodkan 9,369 penumpang.
Akhbar sebelum ini melaporkan, jadual pelayaran feri dari Terminal Feri Kuah, di sini ke Jeti Kuala Perlis dipinda berikutan alur pelayaran di Kuala Perlis yang kembali cetek.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, sebanyak 34 perjalanan kedua-dua hala terpaksa dipinda melibatkan tarikh 17 hingga 28 Oktober ini.
“Sebanyak lima perjalanan dari Langkawi dilewatkan dan 13 perjalanan pula diawalkan pada tarikh tersebut. Sementara itu, sebanyak lapan perjalanan diawalkan dan lapan perjalanan dilewatkan dari Kuala Perlis,” katanya.
Menurutnya, alur pelayaran yang cetek tersebut menyebabkan pihak operator feri mengambil keputusan untuk hanya membenarkan perjalanan feri apabila kedalaman air laut berketinggian 1.2 meter (m) berbanding 1.0 m sebelum ini. – UTUSAN






