PETALING JAYA: Kerajaan komited memastikan keperluan pendidikan menengah yang berteraskan nilai keagamaan dan akhlak mulia terus diberi perhatian seiring dengan pembangunan fizikal dan infrastruktur sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, tetapi perlu menitikberatkan pembentukan sahsiah, nilai murni serta pendidikan yang membentuk keperibadian pelajar.
“Iltizam memenuhi keperluan pendidikan menengah yang turut menawarkan iklim dini kepada pelajar terus diberi perhatian.
“Selain pembangunan dan kemudahan fizikal, kepentingan roh pendidikan serta esensi nilai dan akhlak dalam pendidikan anak-anak adalah penting,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima taklimat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengenai rancangan mengembangkan lagi institusi pendidikan menengah dan pengajian tinggi di bawah kelolaan MAIWP di Kuala Lumpur.
Katanya, usaha berterusan MAIWP memperluas akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan amat signifikan dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan memperluas manfaat hasil kutipan zakat di Wilayah Persekutuan.
“Semoga perancangan menawarkan pendidikan berkualiti oleh MAIWP ini bermanfaat bagi anak-anak daripada keluarga yang memerlukan.
“Ia menjadi penyambung amal jariah hasil sumbangan zakat yang disumbangkan di Wilayah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN






