KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperkukuh peranan ASEAN dalam memastikan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RCEP bukan sekadar perjanjian ekonomi terbesar dunia yang merangkumi hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, sebaliknya merupakan satu pengesahan strategik bahawa ‘regionalisme terbuka’ masih menjadi laluan kepada kemakmuran bersama.
Katanya, Malaysia mahu memastikan pelaksanaan RCEP tidak hanya menguntungkan syarikat multinasional besar tetapi turut membuka peluang sebenar kepada usahawan tempatan untuk bersaing dalam pasaran global.
“Aspirasi Malaysia juga jelas, kita mahu memperkukuh peranan sebagai hab pelaburan yang dipercayai, sambil memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula tidak tercicir. Sebab itulah tema utama kita kekal berasaskan keterangkuman.
“Bagi ASEAN, ia bukan sekadar susunan ekonomi, tetapi satu pengiktirafan strategik bahawa keterbukaan serantau adalah jalan menuju kemakmuran bersama,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar juga menegaskan, RCEP perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau termasuk memperluas perdagangan, mengurangkan halangan bukan tarif dan memperkukuh ekonomi digital serta peralihan hijau.
“Ketika Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pemimpin RCEP kelima hujung bulan ini, kita berhasrat untuk memperkukuh peranan utama ASEAN dalam memandu pelaksanaan perjanjian tersebut.
“Malaysia mahu memastikan RCEP tidak hanya menguntungkan syarikat multinasional besar, tetapi turut memberi manfaat nyata kepada PMKS, para pekerja serta komuniti tempatan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menekankan bahawa ASEAN kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dalam tempoh lima tahun akan datang, hasil kesepakatan negara anggota dalam mempertahankan prinsip perdagangan bebas dan adil. – UTUSAN






