PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki Universiti Malaya (UM) maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan kolej kediaman hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.15 petang.
“Kejadian berlaku membabitkan mangsa berusia 22 tahun yang jatuh dari bangunan kolej kediaman di UM dan dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 petang oleh pegawai perubatan PPUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis masih berada di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan tempat kejadian dan mengumpul bukti termasuk keterangan saksi.- UTUSAN






